PETALING JAYA – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin tidak sepatutnya meneruskan perjalanan secara bersendirian ketika mendaki Gunung Batu Putih, Perak meskipun dikatakan telah memperoleh kebenaran daripada malim gunung.
Pegawai Bomba Kanan I, Muhammad Izham Aminuddin berkata, berdasarkan pengalamannya dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), pendakian solo tidak wajar dilakukan kerana risiko yang dihadapi terlalu tinggi sekiranya berlaku kecemasan.
“Kalau tanya pada saya, bergerak secara solo atau mendaki secara solo memang tidak dibenarkan. Walau macam mana sekalipun, apabila melibatkan hutan dan sungai, kita disarankan berada bersama ‘buddy’.
“Sekurang-kurangnya ada dua orang, kalau berlaku apa-apa masih ada seorang lagi yang tahu kedudukan kita,” katanya ketika menjadi tetamu audio siar Borak Balai kendalian Abang Crime.
Menurutnya, dalam situasi membabitkan Jaslinda ketika itu, tumpuan malim gunung lebih terarah kepada seorang lagi pendaki yang mengalami masalah kesihatan sehingga memerlukan bantuan kecemasan.
Katanya, namun secara prinsipnya, dia tetap tidak menggalakkan mana-mana pendaki meneruskan perjalanan bersendirian walaupun telah diberikan kebenaran.
“Situasi ketika itu mungkin berbeza kerana seorang lagi pendaki memerlukan bantuan segera, tetapi kalau tanya saya, pendakian solo memang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Tambahnya, setiap pendaki perlu membuat persediaan menghadapi kemungkinan terburuk termasuk membawa kelengkapan asas seperti wisel, kompas, kit ikhtiar hidup dan peralatan kecemasan bagi meningkatkan peluang untuk terus hidup sekiranya tersesat.
Terdahulu, Jaslinda ditemui selamat pada 6 Jun lalu selepas hampir 15 hari dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah.
Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan oleh penduduk Orang Asli sebelum dibawa ke rumah Tok Batin dan seterusnya menerima rawatan di Hospital Tapah. – KOSMO! ONLINE














