REMBAU – Penduduk di sekitar Pekan Chengkau, di sini meluahkan rasa bimbang berhubung kekerapan kes kemalangan maut di laluan utama Seremban-Tampin.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Chengkau, Mohd. Zool Asmani Mahmood berkata, kemalangan di kawasan itu dilaporkan semakin meningkat sehingga mengorbankan tiga nyawa kurang tiga bulan.
Katanya, keadaan jalan menuruni bukit menjadi antara faktor kenderaan dipandu laju, selain pemandu membuat pusingan U secara tidak selamat.
“Saya harap pihak polis dapat meningkatkan pemantauan dan operasi, manakala Jabatan Kerja Raya mengkaji semula keadaan jalan tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, penduduk Rumah Rakyat Chengkau kerap menggunakan laluan itu untuk ke Pekan Chengkau menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kemalangan.
Penduduk mencadangkan supaya diletakkan penghadang, lampu isyarat atau atau papan tanda amaran lokasi kemalangan.
Seorang penduduk, Zamri Mokhtar, 45, berkata, tindakan segera perlu diambil kerana ia merupakan laluan utama dari Seremban menghala ke Kota, Tampin dan Melaka.
“Jangan sekadar datang dan lihat, tetapi ambil tindakan segera kerana sudah ada (mangsa) yang maut dan parah. Saya sendiri nyaris terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Zamri berharap pihak berkuasa tidak menunggu lama sehingga berlaku lebih banyak kemalangan maut sebelum mengambil tindakan.
Kosmo! semalam melaporkan seorang pelajar kolej vokasional maut selepas motosikal ditunggang merempuh kereta yang masuk simpang secara cuai.














