KUALA SELANGOR – Sikap seorang pekerja pusat cuci kenderaan yang dipercayai kurang ajar ketika urusan pembayaran menjadi punca pelanggan bertindak membelasah mangsa dalam kejadian di Taman Kiara di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 10.34 pagi itu menyaksikan mangsa yang merupakan lelaki warga India dipukul menggunakan kon keselamatan sebelum insiden berkenaan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, polis menerima maklumat mengenai video pergaduhan berdurasi satu minit 20 saat yang tular di Facebook kira-kira pukul 1.30 petang semalam.
“Suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bertindak memukul mangsa menggunakan kon serta menumbuknya beberapa kali.
“Punca kejadian dipercayai kerana suspek berasa marah terhadap mangsa yang dikatakan bersikap kurang ajar semasa urusan pembayaran mencuci kenderaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu polis telah menahan empat individu bagi membantu siasatan termasuk suspek utama serta pemilik pusat cuci kenderaan yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit.
“Dua lagi yang ditahan merupakan pekerja warga India yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor atau pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Anwar Abd. Kadir di talian 03-32891222. – KOSMO! ONLINE














