KUALA LUMPUR – Pemegang lesen vokasional tidak lagi perlu mengemukakan borang pemeriksaan kesihatan secara fizikal apabila rekod mereka bakal diintegrasikan secara digital dengan sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemandu yang menjalani pemeriksaan di mana-mana klinik panel hanya perlu mendapatkan pengesahan doktor sebelum laporan kesihatan dimasukkan terus ke dalam sistem berkenaan.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memudahkan urusan pembaharuan lesen vokasional, malah membantu mengurangkan birokrasi serta membolehkan kerajaan memantau tahap kesihatan pemandu dengan lebih berkesan.
“Program yang kita lancarkan hari ini bukanlah untuk memperkenalkan syarat baharu kepada pemandu kenderaan perdagangan. Cuma sebelum ini, pemandu perlu mengemukakan borang pemeriksaan kesihatan secara fizikal kepada JPJ.
“Apa yang kita buat sekarang ialah mengintegrasikan proses itu secara digital. Doktor akan mengesahkan laporan tersebut dan memasukkannya terus ke dalam sistem yang diintegrasikan dengan MySikap JPJ. Cara pelaksanaannya lebih mudah, lebih tersusun, lebih cepat dan lebih telus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Siew Fook berkata, program itu menyasarkan kira-kira 30,000 pemandu komersial berusia antara 40 hingga 59 tahun bagi tempoh pelaksanaan PSS bermula Julai hingga Disember tahun ini.
Katanya, sekiranya pelaksanaan program itu mendapat sambutan menggalakkan, kerajaan akan menilai untuk meneruskannya pada tahun hadapan dengan sasaran yang lebih besar.
“Program ini boleh dimulakan serta-merta selepas pelancarannya. Pemandu hanya perlu hadir ke mana-mana klinik panel yang mengambil bahagian.
“Kita bekerjasama dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi memperluaskan rangkaian kepada kira-kira 3,000 klinik panel di seluruh negara. Mereka juga memastikan setiap pemeriksaan dijalankan secara telus, lengkap dan mengikut kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Siew Fook berkata, kerajaan turut memastikan pelaksanaan program itu tidak membebankan golongan pemandu yang bergantung kepada pekerjaan memandu sebagai sumber pendapatan.
“Ini penting kerana kita mahu pematuhan kepada syarat keselamatan dilaksanakan tanpa membebankan golongan pemandu, khususnya mereka yang bergantung kepada pekerjaan memandu sebagai sumber pendapatan utama.
“Program ini bukan untuk menyusahkan pemandu. Sebaliknya, kita mahu mereka kekal sihat kerana mereka bukan sahaja bertanggungjawab terhadap diri sendiri, malah terhadap penumpang dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Program PSS merupakan inisiatif bersama Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkes), JPJ dan MMA.
Menerusi program itu, pemandu komersial yang layak hanya perlu membayar RM30 untuk menjalani pemeriksaan kesihatan komprehensif, manakala baki kos ditanggung Perkeso.
Mereka yang layak ialah warganegara Malaysia yang merupakan pencarum aktif di bawah Skim Lindung Pekerja atau Skim Lindung Kendiri Perkeso, selain memiliki lesen vokasional PSV E (Bas), GDL E (Kejur) atau GDL E (Bersendi).
Pemeriksaan merangkumi saringan fizikal, penglihatan, pendengaran, gangguan tidur seperti Obstructive Sleep Apnea serta beberapa penilaian kesihatan lain bagi mengesan penyakit lebih awal. – KOSMO! ONLINE














