fbpx
SEORANG doktor memeriksa seorang pesakit yang mengalami strok haba di Hospital Purpan, di Toulouse ketika Perancis sedang dilanda gelombang haba pada 23 Jun 2026. - AFP

Gelombang haba di Eropah sebabkan 1,300 kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan gelombang haba luar biasa  yang berlaku di Eropah menjadi punca kepada kematian berlebihan.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, lebih daripada 1,300 kematian berlebihan telah direkodkan sejak 21 Jun lalu, yang mempunyai kaitan langsung dengan lonjakan suhu ekstrem di benua berkenaan.

“Tekanan haba sering dianggap sebagai ‘pembunuh senyap’. 

“Kebanyakan kediaman, tempat kerja, dan sekolah di Eropah sememangnya tidak direka untuk berhadapan dengan suhu setinggi ini,” ujar beliau menerusi satu hantaran di platform X.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Perancis memaklumkan terdapat sekitar 1,000 kematian tambahan yang disebabkan oleh gelombang haba.

Kebanyakan daripada kematian tambahan tersebut melibatkan mereka yang berumur 65 tahun ke atas, selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 40 peratus bagi bilangan individu yang meninggal dunia di rumah.

“Eropah merupakan benua yang paling cepat memanas di Bumi, dengan kadar pemanasan dua kali ganda berbanding purata global,” amaran Tedros.

Beliau menambah bahawa jutaan penduduk di seluruh benua itu kini “hidup dalam keadaan haba yang ekstrem, ratusan telah maut, sekolah-sekolah ditutup, dan rangkaian grid elektrik semakin lumpuh”.

Tedros menegaskan bahawa perubahan iklim adalah punca kepada cuaca ekstrem ini, sambil memberi amaran bahawa Eropah sedang memanas pada kadar “dua kali ganda purata global”.

“Didorong oleh perubahan iklim dan pemanasan global, fenomena gelombang haba ‘sekali dalam segenerasi’ kini berlaku hampir setiap tahun,” katanya.

Beliau menyeru negara-negara Eropah untuk “melaksanakan pelan tindakan kesihatan haba” sebagai sebahagian daripada usaha untuk melindungi kesihatan dalam menghadapi perubahan iklim. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN