SUNGAI PETANI – Seorang wanita direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang didakwa terjatuh dari kerusi di sebuah rumah di Taman Permaipura, Bedong di sini, Isnin lalu.
Perintah reman terhadap wanita berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Radzi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan membabitkan pengabaian, penderaan atau penganiayaan terhadap kanak-kanak.
Suspek yang ditahan tengah hari semalam tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan polis kira-kira pukul 8.50 pagi tadi.
Proses permohonan reman itu kemudian selesai kira-kira sejam kemudian.
Kosmo! semalam melaporkan seorang pengasuh ditahan polis selepas bayi berusia 11 bulan di bawah jagaannya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian seorang bayi perempuan tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari kerusi ketika sedang disuap makanan oleh pengasuhnya.
Laporan dibuat oleh bapa bayi itu selepas dia menerima panggilan daripada pengasuh berkenaan pada pukul 2.15 petang Isnin lalu yang memaklumkan kejadian tersebut.
Bayi berkenaan yang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada awalnya dibawa ke sebuah hospital swasta, tempat ibu bapanya bekerja di sini, namun dipindahkan ke HSB pada Selasa kerana masih tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia semalam.
Selain bayi malang itu, wanita berkenaan difahamkan turut menjaga seorang lagi bayi di rumahnya sejak mula menjadi pengasuh hampir setahun lalu. – KOSMO! ONLINE














