KUALA LUMPUR – Cuaca panas di Kuala Lumpur membuat kumpulan K-pop terkenal EXO terpaksa bermandi peluh ketika menjayakan konsert EXO Planet #6 – EXhoOrizon Live in KL yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam tadi.
Biarpun cuaca pada malam tadi dijangka hujan, namun perkara itu tidak berlaku sehingga konsert tamat. Selepas membuat beberapa dendangan, semua anggota Exo itu dilihat berpeluh-peluh di atas pentas dan terduduk menahan panas dan penat.
“Wow panas gila di sini. Saya tak tahu nak cakap macam mana saya ‘speechless’. Lihatlah rakan-rakan saya yang lain. Mereka terduduk di atas pentas. Kai adakah anda okey? ,” kata Suho.
Saat kamera menghala ke arah Chanyeol, kelihatan bajunya basah lencun seperti disimbah dengan air.
D.O pula memberi pesanan kepada semua penonton yang hadir supaya minum air supaya kekal hidrasi selepas pulang menonton konsert mereka.
“Anda sudah minum air ke belum? Kalau belum nanti pulang jangan lupa minum air banyak-banyak dan jangan lupa makan vitamin,” pesannya.
Manakala seorang lagi anggota EXO iaitu Sehun dilihat terbaring di atas pentas selepas selesai membuat persembahan.
Dia juga dilihat duduk di depan kipas sementara rakannya yang lain bercakap.
Biarpun kepanasan, namun EXO tetap lincah menghiburkan hampir 50,000 peminat yang hadir dengan persembahan yang memukau dan bertenaga.
Mereka juga kerap berinteraksi dengan penonton dan menghiburkan peminat dengan telatah mereka yang bersahaja terutamanya apabila masing-masing cuba bercakap dalam bahasa Melayu.
Dalam konsert yang berlangsung selama 2 jam 30 minit itu, mereka menyampaikan 24 buah lagu antaranya MAMA, Monster, Gravity, Love Shot, Baby, Don’t Cry, El Dorado dan Back Pocket. KOSMO! ONLINE














