KAJANG – Mayat seorang wanita dijumpai dalam keadaan ngeri di dalam sebuah bagasi di sebuah rumah di Taman Impian Indah, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat tanpa pengenalan diri itu pada pukul 8.37 malam.
“Bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis bersama forensik pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat satu mayat wanita di dalam bagasi di ruang tamu sebuah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Nur Ayuni Aziz di talian 016-2080717 atau MERS 999 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














