PETALING JAYA – Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kehilangan seorang sahabat apabila berkenan mencemar duli menziarahi jenazah Allahyarham Tok Luar, Datuk Jamaluddin Ahmad di Masjid Tengku Ampuan Afzan, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 2 petang diiringi Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut kenyataan Kesultanan Pahang, baginda yang jelas kelihatan sebak sanggup mempercepatkan lawatan kerja selama dua hari di Pulau Tioman kepada sehari bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, di samping meneruskan program menyantuni rakyat seperti dijadualkan.
Terdahulu, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang turut berkenan menziarahi jenazah serta menyantuni balu dan anak-anak Allahyarham di masjid berkenaan.
Allahyarham Jamaluddin, 75, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.48 pagi tadi.
Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Setali, Kuantan kira-kira pukul 3 petang tadi.
“Saya kehilangan seorang sahabat,” titah Sultan Pahang, menggambarkan hubungan akrab baginda dengan Allahyarham. – KOSMO! ONLINE.














