fbpx
Anwar ketika hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameastus Solehah, Dengkil, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

Biarlah kempen tu sopan, jaga akhlak, jangan lupa daratan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DENGKIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertandingan sengit termasuk jangkaan ‘tiga penjuru’ yang dijangka mewarnai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai lumrah dalam amalan demokrasi.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, apa yang lebih penting ialah semua pihak perlu memastikan kempen berlangsung secara sopan serta berlandaskan akhlak yang baik sepanjang tempoh pilihan raya.

“Tiga ke enam penjuru ke, ini lumrah dalam amalan demokrasi. Cuma biarlah kempen tu sopan, jaga akhlak, jangan lupa daratan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau turut mengingatkan jentera parti supaya tidak bersikap angkuh walaupun mempunyai rekod prestasi yang boleh diketengahkan kepada pengundi.

Sebaliknya, katanya, pendekatan kerjasama dan kesederhanaan perlu terus diamalkan bagi mendekati rakyat.

“Bagi kita, kita cuba dalam Pakatan Harapan (PH) dekatkan kerana prestasi ditunjukkan. Jangan tunjuk sombong, jangan kata oh, tolak orang itu, tolak…kerjasamalah.

“Malaysia ni sudah begini rupa. Ambillah sikap yang sederhana sikit. Cuba layani, santuni sebanyak mungkin masyarakat kita,” katanya.

Esok merupakan hari penamaan calon bagi PRN Johor yang dijangka menyaksikan beberapa kerusi berdepan persaingan sengit termasuk pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), PH dan Perikatan Nasional (PN).

PRN Johor kali ini dilihat sebagai medan penting bagi menguji sokongan rakyat terhadap parti-parti utama susulan perubahan landskap politik negara sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN