KLUANG – Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam melahirkan rasa kesal dengan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang meninggalkan UMNO dan menyertai parti lain setelah tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 Julai nanti.
Ketuanya, Hafiz Shukor berkata, lebih mengecewakan adalah apabila Abd Mutalip Abd Rahim yang menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah dicalonkan untuk mewakili parti itu untuk bertanding melawan calon Barisan Nasional (BN) di kawasan tempatnya berkhidmat sebelum ini.
Katanya, Pemuda UMNO Simpang Renggam menghormati hak mana-mana individu untuk memilih wadah politik masing-masing, namun setiap keputusan politik, lebih-lebih lagi yang dibuat selepas seseorang tidak dicalonkan semula, wajar dinilai secara terbuka berdasarkan prinsip, masa dan sebab tindakan tersebut dilakukan.
Jelasnya, tindakan Abd Mutalip meninggalkan UMNO dan menyertai parti lain sejurus selepas tidak dipilih sebagai calon sememangnya amat mengecewakan. Ia menimbulkan persoalan yang munasabah berhubung perjuangan selama ini benar-benar berasaskan prinsip, atau hanya bertahan selagi jawatan dan pencalonan masih diberikan.
“Perbezaan antara seorang pejuang dengan pengejar jawatan tidak terserlah ketika seseorang berada di puncak kuasa dan ia terbukti apabila parti membuat keputusan yang tidak memihak kepada kehendak peribadinya.
“Seorang pejuang akan terus berdiri bersama perjuangan walaupun tidak lagi menjadi calon, manakala seorang pengejar jawatan pula akan mula mencari bahtera baharu apabila peluang peribadinya tidak lagi dipenuhi,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Hafiz berkata demikian ketika mengulas tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang itu diumumkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kawasan DUN Layang-Layang malam tadi. – KOSMO! ONLNE














