MUAR – Pas ditegaskan sebagai satu-satunya parti yang membawa matlamat menyeluruh dalam usaha menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat ketika ini, termasuk aspek kehidupan, sosial dan pentadbiran.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Pas, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu bukan sekadar gerakan politik, sebaliknya sebuah wadah dakwah yang menekankan pembinaan sahsiah serta tarbiah yang telah lama dilaksanakan, termasuk melalui penyertaan dalam proses pilihan raya.
“Sebab itulah, walaupun kita tidak bertanding sebanyak Barisan Nasional dengan 56 kerusi atau Pakatan Harapan dengan 56 kerusi, kita (Perikatan Nasional) mungkin hanya bertanding sekitar 30 kerusi, Pas sekitar 11 kerusi, tetapi ia adalah makna kita akan terus menggerakkan gelombang daripada utara ke selatan.
“Realitinya, setiap kali pilihan raya kita masih mendengar dendangan permasalahan sama, soal intergriti, ekonomi, kos sara hidup, hubungan antarabangsa, perkauman, keadilan sosial dan sebagainya. Di sinilah keazaman Pas yg menanam keyakinan jawapan dan penyelesaian adalah Islam,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pas – Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri, di sini malam tadi.
Tambahnya, politik pada masa kini merupakan sebahagian daripada pengukuhan agama dan tidak boleh dipisahkan daripada Islam sebagai cara hidup yang lengkap.
Menurutnya, Islam menjadi asas dalam membentuk hubungan kaum, keadilan sosial, membanteras kezaliman serta membawa kemakmuran, kesejahteraan dah rahmat.
“Kita harapkan di Johor juga sayap PN melalui parti Pas harus berkembang lebar, semakin membesar kerana kita ada cita-cita dan harapan yang besar untuk membawa jalan penyelesaian kepada kebuntuan-kebuntuan politik yang hari ini menjadi buah mulut semua orang.
“Penyelesaian kepada segala permasalahan ini adalah dengan memberikan mandat kepada Pas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














