JOHOR BAHRU – Beberapa kerusi panas dijangka menjadi tumpuan utama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 apabila pertandingan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka memberi saingan sengit.
Antara kerusi yang mencuri perhatian ialah DUN Puteri Wangsa apabila bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mewakili PH dijangka berdepan calon BN dan PN dalam pertandingan tiga penjuru.
DUN Endau turut menjadi perhatian apabila bekas penyandang kerusi itu, Alwiyah Talib kembali bertanding atas tiket UMNO selepas meninggalkan Bersatu awal bulan ini.
Selain itu, DUN Machap yang disandang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi BN Johor, turut menjadi tumpuan apabila beliau mempertahankan kerusi berkenaan.
DUN Bukit Kepong pula dijangka menjadi medan persaingan sengit apabila kerusi itu disandang Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr: Sahruddin Jamal.
Kerusi lain yang dijangka menjadi perhatian ialah DUN Skudai yang setakat ini menyaksikan BN, PH dan PN akan bertanding selain penyertaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mempertaruhkan calon tunggal pada PRN kali ini.
Secara keseluruhan, sebanyak 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan BN, PH dan PN.
BN dan PH masing-masing meletakkan calon di semua 56 kerusi, manakala PN mengagihkan 33 kerusi yang ditandingi antara Bersatu, Pas dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Berdasarkan senarai penuh calon yang diumumkan malam tadi, Bersatu akan bertanding di 16 kerusi, Pas (11), MIPP (5) dan Pejuang satu kerusi di DUN Gambir.
Sebanyak 16 kerusi bakal menyaksikan saingan antara BN, PH dan Bersatu iaitu Kemelah, Bukit Kepong, Bukit Pasir, Serom, Bukit Naning, Semarang, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Layang-Layang, Tenggaroh, Panti, Sedili, Johor Lama, Penawar dan Stulang.
Sementara itu, 11 kerusi menyaksikan pertandingan BN, PH dan Pas melibatkan Jementah, Tenang, Simpang Jeram, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Kahang, Endau, Pasir Raja dan Tiram.
Lima lagi kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PH dan MIPP iaitu Pemanis, Paloh, Permas, Kota Iskandar dan Bukit Permai.
PRN kali ini juga dijangka menyaksikan pertandingan lebih empat penjuru selepas parti baharu, Bersama, mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi DUN.
Kerusi yang bakal ditandingi Bersama ialah Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.
Daripada jumlah tersebut, tujuh kerusi kini disandang UMNO, lima DAP, satu PKR dan satu lagi Muda.
Semua calon Bersama dijadual diumumkan di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru malam ini. – KOSMO! ONLINE














