MARANG – Biarpun menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) yang sama, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berkempen dengan jentera berasingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak lama lagi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jentera parti itu hanya akan menumpukan kepada 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi.
“Kempen (PRN Johor antara Pas dan Bersatu) berbeza-beza. Dia (Bersatu) desak hendak logo (PN) itu juga.
“Itu (pertikaian Pas dan Bersatu) kita akan bincang kemudian. Kita beri simbol (PN) kepada Bersatu agar tempat (pembahagian DUN bertanding) tidak bertindih dan kita pun masih belum pecat (singkir) Bersatu,” katanya ketika ditemui pekarangan Masjid Rusila di sini hari ini.
Semalam Pas dan Bersatu secara berasingan masing-masing mengumumkan bakal bertanding 11 dan 36 kerusi DUN dalam PRN Johor ke-16 yang dijadual berlangsung pada 11 Julai depan.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi mengakui Pas yang hanya bertanding 11 daripada 56 kerusi dipertandingkan tidak meletakkan harapan untuk merampas kerajaan negeri Johor pada PRN kali ini.
Sebaliknya Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas cuma menyasar menjadi pembangkang yang mahu berfungsi menjadi penasihat baik kepada kerajaan negeri Johor kelak.
“Apa yang penting (kerajaan negeri) Johor akan diperintah orang Melayu Islam, tidak mahu dikuasai puak-puak liberal,” katanya. – KOSMO! ONLINE














