KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar Datuk yang dipercayai mengetuai kumpulan kongsi gelap antara 291 individu diberkas dalam Op Gaurus yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Perak, Lembah Klang dan Johor, minggu lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu disyaki menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah yang aktif di beberapa negeri berkenaan.
Menurutnya, operasi itu turut membongkar kegiatan sembilan ahli sindiket yang dipercayai memperoleh bekalan dadah secara pukal sebelum membungkus semula untuk diedarkan ke pusat-pusat hiburan.
“Sindiket ini dipercayai aktif beroperasi di sekitar Perak, Lembah Klang dan Johor sejak pertengahan tahun 2024,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin, serbuk dan cecair MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Erimin 5 serta ganja dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6.26 juta.
Selain dadah, katanya, polis turut menyita beberapa aset dipercayai hasil kegiatan sindiket, termasuk sebuah Nissan Sentra, Mazda, Maserati Ghibli, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Mercedes-Benz C250, dua utas jam tangan Rolex serta wang tunai RM4,383.
“Kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 74 tahun dan lima daripada mereka didapati positif pelbagai jenis dadah.
“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tindakan pelucuthakan harta turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya. – KOSMO! ONLINE














