KUALA LUMPUR – Polis bercadang menggunakan kit ujian air liur di sekatan jalan raya bagi mengesan dadah sintetik jenis etomidate dalam kalangan pengguna vape sebagai langkah mempercepatkan saringan dan membanteras penyalahgunaan bahan terlarang itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata, kit berkenaan mampu mengesan kandungan dadah dengan lebih pantas berbanding kaedah sedia ada yang memerlukan ujian air kencing.
“Kit ini akan membantu tindakan penguatkuasaan di lapangan, khususnya bagi mengesan pengguna vape yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 108 kes membabitkan 138 tangkapan direkodkan sepanjang tahun lalu, manakala sehingga 10 Jun tahun ini, jumlah itu meningkat kepada 168 kes dengan 267 tangkapan.
“Peningkatan ini amat membimbangkan kerana bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, malah turut membabitkan remaja termasuk pelajar sekolah,” katanya.
Beliau berkata, trend itu didorong oleh kemudahan mendapatkan vape yang dicampur dadah menerusi platform dalam talian, selain harganya yang murah serta sukar dikesan kerana tidak berwarna dan tidak berbau.
“Keadaan ini memberi ruang kepada sindiket memasarkan bahan terlarang itu menggunakan pelbagai istilah komersial seperti ‘piu piu’ dan ‘magic mushroom’,” katanya.
Hussein berkata, pihaknya turut bimbang penyalahgunaan vape mengandungi dadah boleh mengundang risiko keselamatan awam termasuk kemalangan jalan raya akibat pengguna memandu di bawah pengaruh bahan berkenaan.
“Kes seperti ini telah dilaporkan berlaku di dalam dan luar negara, sekali gus menunjukkan ancaman itu semakin serius,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, polis menyokong cadangan supaya penggunaan vape diharamkan sepenuhnya bagi memudahkan kawalan serta penguatkuasaan, walaupun hanya sebahagian kecil pengguna terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, JSJN akan memohon peruntukan khas daripada Kementerian Dalam Negeri bagi mendapatkan kit ujian air liur itu dan menyasarkan penggunaannya sebelum penghujung tahun ini.
Hussein berkata, polis akan terus memperhebat operasi terhadap sindiket yang mengedar bahan kimia sintetik untuk dicampurkan ke dalam vape dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE














