JOHOR BAHRU – Spekulasi mengenai kemungkinan wujud kerjasama politik antara Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akhirnya terbukti hanya khabar angin.
Perkara itu dilihat secara jelas selepas Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan senarai 56 calon yang akan bertanding mewakili gabungan tersebut hari ini.
Daripada senarai diumumkan, kesemua calon hanya melibatkan tiga komponen parti BN iaitu UMNO, MCA dan MIC tanpa membabitkan mana-mana calon daripada Pas atau Wawasan.
Sebelum ini, timbul pelbagai desas-desus mengenai kemungkinan berlaku kerjasama politik melibatkan BN, Pas dan Wawasan bagi menghadapi PRN Johor kali ini.
Malah, terdapat dakwaan yang tersebar bahawa empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan kepada Wawasan, manakala satu lagi kerusi diberikan kepada Pas dengan semua calon dikatakan akan menggunakan logo BN.
Bagaimanapun, pengumuman rasmi calon BN hari ini menamatkan segala spekulasi tersebut apabila tiada nama daripada kedua-dua parti itu tersenarai sebagai calon PRN Johor kali ini.
Perkembangan itu sekali gus menunjukkan BN Johor kekal mempertaruhkan formula tradisi dengan hanya melibatkan parti komponennya sendiri dalam perebutan 56 kerusi DUN pada PRN Johor ke-16.-KOSMO! ONLINE














