fbpx
PETUGAS SPR, Muhamad Khairi Sulaiman menampal kerusi calon di pusat penamaan calon bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar dan teratur di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

PRN Johor: SPR terima 593 borang pencalonan, 133 bakal calon sahkan bertanding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sebanyak 593 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terjual setakat ini, namun hanya 133 bakal calon mengesahkan penyertaan mereka dengan menjelaskan bayaran deposit.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu bagaimanapun dijangka terus meningkat memandangkan bakal calon masih mempunyai tempoh sehingga proses penamaan bermula pagi esok untuk melengkapkan urusan tersebut.

“Sehingga pagi tadi, kita telah menerima 593 borang yang telah dijual di seluruh pejabat Pegawai Pengurus (RO) di negeri. Daripada jumlah itu, seramai 133 calon telah membuat pembayaran, maknanya mereka telah mengesahkan penyertaan setakat ini.

“Kita masih ada masa sampai esok dan berharap calon-calon yang ingin bertanding datang lebih awal untuk membuat pembayaran supaya proses penamaan calon berjalan lebih lancar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Pejabat Daerah Muar, di sini, hari ini.

Ramlan turut memberi jaminan bahawa kesemua 56 pusat penamaan calon di negeri ini berada dalam tahap siap siaga sepenuhnya selepas SPR melaksanakan latihan percubaan selama dua hari berturut-turut.

Mengenai aspek keselamatan, Ramlan mengingatkan semua parti politik, calon serta penyokong agar sentiasa mematuhi peraturan dan mengelakkan sebarang provokasi bagi memastikan hari penamaan calon berlangsung dalam suasana aman dan tertib.

Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang melibatkan 20 calon daripada PKR, Amanah (19) dan DAP (17).

Barisan Nasional (BN) pula bertanding di kesemua kerusi DUN menampilkan 36 calon UMNO, 16 calon MCA serta empat calon MIC.

Perikatan Nasional (PN) turut mengumumkan Pas akan bertanding di 11 kerusi DUN, Bersatu (16), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) manakala Pejuang satu kerusi.

Sementara itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding empat kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu calon serta kemunculan sulung Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dijangka bertanding 15 kerusi DUN.

DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lepas, menyaksikan SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari mengundi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN