PENGENDALI interim skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu memberi ruang dan peluang buat pemain muda tempatan mencari pengalaman di pentas antarabangsa pada kempen Piala AFF 2026 bulan depan.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menyifatkan peluang keemasan itu wajar diberikan supaya bakat-bakat muda yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dapat menyerlahkan potensi yang mereka ada di peringkat tertinggi.
Sulaiman percaya kombinasi gabungan pemain senior dan junior seperti yang dirancang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini adalah yang terbaik untuk memberi cabaran pada kejohanan berprestij rantau Asia Tenggara itu nanti.
“Saya harap siapa sahaja jurulatih baharu yang dilantik oleh FAM nanti dapat pertimbangkan untuk menggunakan pemain-pemain muda yang beraksi dalam liga tempatan.
“Mungkin kejohanan ini boleh dijadikan sebagai garis panduan atau pintu buat mereka menyerlahkan bakat di masa hadapan kerana ramai pemain muda berpotensi sebelum ini tidak diberi peluang.
“Justeru, saya percaya kombinasi gabungan pemain junior dan senior dapat memastikan pasukan dapat beri saingan pada kejohanan itu nanti,” katanya.
Pada awalnya, FAM telah merancang tugasan untuk saingan Piala AFF 2026 diberikan kepada Nafuzi Zain sebelum pengendali kelahiran Kelantan itu meletakkan jawatan selaku pengendali skuad bawah 23 (B-23) pada minggu lalu.
Disebabkan saingan Piala AFF 2026 di luar kalendar FIFA, FAM memberi bayangan pasukan ‘rojak’ akan mewakili Harimau Malaya terdiri daripada pemain muda dan senior. – KOSMO! ONLINE














