STATUS masa depan pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools bersama kelab Liga Jepun, Cerezo Osaka terjawab secara tidak rasmi selepas kontrak pemain itu dilanjutkan sehingga pertengahan tahun depan.
Sebagai rekod, Cools yang berhijrah ke Cerezo Osaka daripada kelab Buriram United pada tahun lalu menandatangani kontrak singkat yang sepatutnya berakhir pada penghujung bulan ini.
Namun, berdasarkan data terkini daripada laman web transfermrkt.com, kontrak Cools yang berusia 30 tahun sudah dilanjutkan hingga 30 Jun 2027.
Cools yang memiliki tanda harga di pasaran antarabangsa dengan sekitar €700,000 (RM3.3 juta) dianggap menjadi salah seorang tunjang penting dalam kesebelasan utama skuad kendalian Arthur Papas sejak tahun lalu.
Bekas pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui tidak terkejut apabila Cools tidak mempunyai masalah untuk serasi dengan corak permainan liga negara Matahari Terbit itu ketika ini.
“Saya lihat Cools berjaya menyesuaikan diri dengan tahap liga di Jepun yang memiliki intensiti sangat tinggi.
“Dia adalah pemain yang berbakat besar dan semakin menunjukkan peningkatan secara konsisten khususnya daripada aspek fizikal,” kata Cklamovski yang memiliki pengalaman bekerja di Jepun selama lima tahun.
Saingan Liga Jepun dihentikan seketika ketika ini bagi memberi laluan kepada Piala Dunia 2026 dengan Cools dijangka kembali membantu Cerezo Osaka pada aksi persahabatan menentang Borussia Dortmund, bulan depan.














