LOS ANGELES – Turkiye menutup kempen Piala Dunia 2026 dengan bergaya apabila mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Amerika Syarikat (AS) pada aksi terakhir Kumpulan D, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, Kaan Ayhan muncul wira Turkiye selepas meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat pasukannya dalam kejohanan kali ini.
Turkiye dikejutkan seawal minit ketiga apabila pertahanan AS, Auston Trusty meletakkan tuan rumah di depan.
Namun, kebangkitan pantas Turkiye menyaksikan Arda Guler menyamakan kedudukan pada minit ke-10 sebelum momentum diteruskan apabila Orkun Kokcu melengkapkan kebangkitan Turkiye dengan jaringan kedua pada minit ke-31.
AS kembali menyamakan kedudukan sejurus babak kedua bermula hasil jaringan jarak jauh Sebastian Berhalter pada minit ke-49.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Ayhan muncul wira apabila menyempurnakan peluang pada penghujung masa kecederaan untuk memastikan Turkiye pulang dengan kemenangan.
Bagaimanapun, tiga mata tersebut tidak mencukupi untuk mengubah nasib Turkiye selepas mereka tewas dalam dua aksi terdahulu kepada Australia dan Paraguay dengan AS kekal selaku juara kumpulan. – AGENSI














