KUALA SELANGOR – Kedegilan dua kilang memproses barangan kitar semula plastik di Jeram meneruskan operasi haram meskipun pernah diserbu pihak berkuasa pada Mac lalu akhirnya berakhir apabila premis itu ditutup, hari ini.
Operasi selama lima jam bermula pukul 9 pagi itu dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (Majlis Perbandaran Kuala Selangor) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) serta Tenaga Nasional Berhad (Tenaga Nasional Berhad).
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis terbabit masih beroperasi tanpa lesen yang sah.
Katanya, susulan itu kedua-dua premis telah dikompaun, diarahkan menghentikan operasi serta ditutup serta-merta.
“Turut disita ialah pelbagai peralatan dan jentera yang digunakan termasuk forklift, mesin penimbang digital, mesin jahit guni elektrik, pam air, tong gas oksigen danset kimpalan,” katanya pada malam ini.
Menurutnya, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS turut mengeluarkan dua notis pemberitahuan dan tawaran kompaun di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Tambahnya, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pula telah menjalankan semakan status lot tanah serta membantu kelancaran operasi di lapangan.
“Dalam operasi sama, Air Selangor turut melaksanakan pemotongan serta rampasan meter air. TNB pula mengeluarkan notis pemotongan meter elektrik selepas menerima permohonan MPKS,” jelasnya.
Beliau menegaskan, tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi memastikan tiada lagi aktiviti perniagaan haram beroperasi secara berleluasa di kawasan pentadbirannya. – KOSMO! ONLINE














