KETIDAKTENTUAN geopolitik, ancaman keselamatan rentas sempadan dan perkembangan teknologi pesat menuntut negara untuk mempertahankan kedaulatan dengan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan secara berterusan.
Menyedari keperluan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melancarkan dua dokumen strategik iaitu Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026–2030 (PSPN) dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dokumen-dokumen itu hasil penggemblengan idea, tenaga dan kepakaran pelbagai pihak di MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta rakan-rakan strategik.
“Ketidaktentuan geopolitik dunia, perkembangan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan dan sistem automasi, ancaman bukan bersenjata yang semakin kompleks, semuanya mengubah landskap keselamatan dan pertahanan secara drastik.
“Konflik bersenjata yang berlarutan seperti di Asia Barat dan Ukraine masih memberi kesan langsung kepada kestabilan global. Perubahan inilah yang telah kita teliti dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, bagi memperbaiki kelompongan dan membina perancangan pertahanan negara lebih responsif dan adaptif.
“Daripada situ, lahirlah PSPN 2026-2030, sebagai kesinambungan dan penambahbaikan kepada Pelan Strategik Mindef yang lalu. PSPN akan terus menyokong Kertas Putih Pertahanan dengan berlandaskan tujuh Teras Strategik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030 di sini semalam.

Tujuh teras strategik itu meliputi Teras 1: Memperkasakan Keupayaan dan Mencapai Kesiagaan ATM dalam Melindungi Kepentingan Negara, Teras 2: Pengukuhan Kapasiti Pertahanan yang Kompeten, Teras 3: Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan dan Teras 4: Pemerkasaan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) bagi Menyokong Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
Teras 5: Pembangunan Sains, Teknologi, Inovasi dan Industri Pertahanan, Teras 6: Pengukuhan Hubungan Pertahanan Antarabangsa Dalam Menjamin Negara, manakala Teras 7: Pemerkasaan Kesejahteraan Veteran ATM.
Beliau berkata, tiada organisasi, apatah lagi negara, boleh berjaya tanpa pelan yang jelas, justeru MINDEF mempunyai pelbagai cita-cita untuk membangunkan Angkatan Masa Hadapan, memperkasa industri pertahanan tempatan, membina daya tahan negara yang kuat dan sebagainya.
“Tetapi semua itu hanya angan-angan jika tanpa perancangan tersusun, keutamaan jelas dan disiplin pelaksanaan yang tinggi.
Pelan ini akan membantu kita menguruskan dan mengagihkan sumber negara dengan cekap dan efektif bagi mencapai objektif disasarkan.
“Dalam PSPN, kita akan memperkemas budaya pemantauan prestasi dan akauntabiliti melalui sistem pemantauan bersepadu, semakan berkala dan pelaporan yang lebih sistematik.
“Kementerian akan memanfaatkan platform, seperti Pestra (Sistem Pengurusan Pelan Strategik Bersepadu) MINDEF untuk menyelaras kemajuan pelaksanaan pelan berasaskan data dan hasil,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, pelan yang baik tidak akan membawa makna tanpa kapasiti dan sumber untuk menyokong dan melaksanakannya dan atas sebab itu, pelancaran PSPN turut disertai dengan pelancaran RTKP.
Ia menggariskan tujuh Teras Strategik dan diperincikan kepada 29 strategi utama serta didukung oleh 103 inisiatif khusus yang dirangka secara komprehensif dan menyeluruh.
“Jika PSPN menentukan ke mana kita ingin pergi, RTKP pula memastikan kita mempunyai keupayaan untuk sampai ke sasaran tersebut. Melalui RTKP, kementerian memberikan jaminan untuk memastikan pengurusan kapasiti yang teratur bagi memenuhi keperluan PSPN,” ujarnya.
RTKP 2026-2030 merupakan dokumen sokongan kepada KPP 2021–2030 yang menyediakan hala tuju pembangunan kapasiti pertahanan negara melalui pendekatan HANRUH dan Keseluruhan Kerajaan serta Keseluruhan Masyarakat.
Ia dibangunkan berasaskan dapatan Kajian Separuh Penggal KPP bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.
RTKP memberi tumpuan kepada pembangunan warga pertahanan merangkumi anggota ATM, Angkatan Sukarela, veteran ATM, warga awam pertahanan dan rakyat serta digerakkan melalui tiga teras utama iaitu meningkatkan keberkesanan tenaga kerja pertahanan, menyemai semangat patriotisme serta memupuk bakat dalam bidang sains, teknologi dan pertahanan.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia akan terus memperkukuh saluran diplomasi pertahanan, berpegang teguh kepada prinsip berkecuali dan tidak berpihak bagi membolehkan negara mengekalkan kedaulatan tanah air dalam sebarang situasi.
Katanya, pertahanan hari ini tidak boleh dirancang secara bersendirian, tetapi mesti dibangunkan secara bersama.
“Kita juga akan mula melaksanakan Program Literasi Pertahanan, dengan kerjasama MiDAS dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang soal pertahanan.
“Ia juga akan memberi nilai tambah kepada program-program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dan program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES),” katanya.
Beliau berkata, kementerian akan sentiasa meletakkan kesejahteraan anggota dan veteran ATM sebagai tonggak utama, termasuk memperkukuh pelbagai inisiatif kepada mereka melalui PSPN.
“Dalam aspek perumahan, kita akan membina enam projek RKAT baharu dan terus menjalankan penyenggaraan melibatkan 20,000 unit RKAT sedia ada.
“Dalam aspek kesihatan, kita akan membina dua poliklinik ATM baharu serta menaik taraf hospital angkatan tentera,” katanya. -KOSMO! ONLINE














