MIAMI – Ketua Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti menyifatkan Vinicius Junior sebagai pemain terbaik dunia selepas penyerang itu meledak dua gol untuk membantu skuad Selecao menewaskan Scotland 3-0 sekali gus muncul juara Kumpulan C dan mara ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026.
Vinicius membuka jaringan Brazil sebelum menambah gol kedua menerusi tandukan, manakala Matheus Cunha melengkapkan kemenangan bergaya skuad lima kali juara dunia itu di Stadium Miami.
“Saya tidak pernah ragu dengan apa yang mampu dipamerkan Vinicius di Piala Dunia ini. Bermain untuk Brazil adalah satu penghormatan buatnya. Dia bermain dengan sangat baik dan turut menjaringkan gol menerusi tandukan, sesuatu yang jarang dilakukan,” katanya.
Vinicius kini sudah meledak empat gol dalam tiga perlawanan selepas turut menjaringkan gol sekali gus meletakkannya sebaris dengan Kylian Mbappe dan Erling Haaland dalam perebutan Kasut Emas dan hanya satu gol di belakang Lionel Messi.
Lebih membanggakan, Vinicius menjadi pemain Brazil pertama menjaringkan gol dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan sejak Ronaldo dan Rivaldo melakukannya pada edisi 2002.
Bagaimanapun, Vinicius enggan terlalu memikirkan rekod peribadi dan lebih gembira kerana dapat membantu pasukan mencatat kemenangan serta terus mara dalam kejohanan.
“Saya tidak terlalu memikirkan soal jumlah gol. Jurulatih meletakkan saya di posisi yang sesuai. Saya harap kami dapat terus mara sehingga ke final kerana apabila seluruh pasukan bermain dengan baik, peluang menjaringkan gol sentiasa ada,” katanya. – AFP














