fbpx
PEMAIN Belanda, Jan-Paul van Hecke meraikan jaringan ketiga pasukannya ketika membantu skuad Oranje menewaskan Tunisia 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan F Piala Dunia 2026 di Stadium Kansas City, hari ini. – AFP

Piala Dunia 2026: Belanda mara bergaya selaku juara kumpulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANSAS CITY – Pasukan Belanda membawa momentum terbaik mereka ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 apabila muncul selaku juara Kumpulan F selepas tampil garang menewaskan Tunisia 3-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Kansas City, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Oranje menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan selepas Jepun sekadar seri 1-1 dengan Sweden dalam satu lagi perlawanan, sekali gus memastikan anak buah Ronald Koeman mara dengan penuh bergaya.

Belanda tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila mendahului seawal minit ketiga hasil jaringan sendiri pemain tengah Tunisia, Ellyes Skhiri yang tertampan hantaran lintang deras Denzel Dumfries ke dalam gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Empat minit kemudian, Brian Brobbey terus menghukum kelekaan benteng Tunisia apabila menyudahkan hantaran lintang Virgil van Dijk untuk meledak gol ketiganya di pentas Piala Dunia 2026 sekali gus memberikan Belanda kelebihan selesa 2-0 pada separuh masa pertama.

Tunisia yang sudah tersingkir daripada saingan tetap mempamerkan semangat juang tinggi dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-54 menerusi tandukan Hazem Mastouri hasil sepakan penjuru.

CUBAAN Memphis Depay (kiri) ketika melepaskan rembatan pada aksi terakhir Kumpulan F Piala Dunia 2026 di Stadium Kansas City, awal pagi tadi. – AFP

Namun, harapan Tunisia untuk bangkit hanya bertahan sembilan minit apabila pertahanan Belanda, Jan Paul van Hecke kembali melebarkan jurang menerusi tandukan hasil sepakan penjuru untuk memastikan kemenangan 3-1 berpihak kepada Oranje.

Sepanjang perlawanan, Belanda jelas menguasai permainan dengan memanfaatkan segala kelebihan serta serangan pantas, manakala Tunisia pula terus dihukum akibat kelemahan di posisi pertahanan yang menyaksikan mereka dibolosi 10 gol sepanjang aksi peringkat kumpulan.

Brobbey sekali lagi membuktikan sentuhan tajamnya apabila kini mengumpul tiga gol dalam hanya dua penampilan di Piala Dunia, sekali gus muncul antara sandaran utama jentera serangan Belanda.

Keputusan itu menyaksikan Belanda bakal membuat perhitungan dengan pasukan Maghribi pada pusingan kalah mati Isnin ini, dengan misi meneruskan kemaraan ke suku akhir serta menghidupkan impian memburu gelaran Piala Dunia pertama dalam sejarah.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN