KUALA LUMPUR – Welbloom Biotechnology, pengeluar produk penjagaan kesihatan dan kecantikan dari Taiwan, memanfaatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diperolehnya sebagai platform utama untuk mengukuhkan keyakinan para pelanggannya di pasaran eksport.
Pengurus Besarnya, Alex Liao berkata, ini juga menjadi peluang kepada syarikat untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu rangkaian utamanya di luar Taiwan malah mahu menjadikan negara ini sebagai hab jualan produk ke pasaran di Asia Tenggara.
Beliau berkata, bimbingan dan panduan yang diberikan oleh kakitangan Jakim yang melawat kilangnya di Taiwan membolehkan beliau mengikut garis panduan yang ditetapkan tanpa sebarang permasalahan yang dihadapinya.
“Dengan sijil halal yang kami peroleh daripada Jakim, pertumbuhan jualan boleh mencecah antara 25 hingga 30 peratus setahun dan ini menunjukkan bahawa pasaran halal di pasaran global sangat berpotensi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Forum Trend Pengguna dan Produk Kesihatan Global 2026 di sini baru-baru ini.

Forum tersebut telah dianjurkan oleh The Page dengan kerjasama Welbloom Biotechnology dan SEAbizs, serta mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Malaysian Dietary Supplement Association (MADSA) dan R Pharmacy.
Welbloom Biotechnology memperkenalkan teknologi inovatif Fresh-Jelly buat pertama kalinya dari Taiwan yang mana teknologi ini menggabungkan manfaat kesihatan, rasa yang lebih menyenangkan serta pengalaman penggunaan yang interaktif, sekali gus menawarkan pendekatan baharu dalam pengambilan produk kesihatan.
Berbeza daripada produk kesihatan tradisional yang lazimnya ditawarkan dalam bentuk kapsul, tablet atau serbuk, Fresh-Jelly hadir dalam bentuk yang lebih menarik dan mudah dinikmati oleh pengguna moden.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif R Pharmacy, Adrian Toh menjelaskan, kepentingan sijil halal bagi produk yang terdapat di semua rangkaian farmasinya memainkan peranan yang penting untuk menarik lebih ramai pelanggan sekali gus mengukuhkan keyakinan mereka terhadap pilihan produk yang ditawarkan.
Menurutnya, hampir 90 peratus produk penjagaan kesihatan dan kecantikan yang ditawarkan di semua outletnya memiliki sijil halal bagi memastikan para pelangganya tidak berasa was-was untuk membuat pilihan.
Sementara itu, forum yang julung-julung kali diadakan itu telah membincangkan beberapa perkara penting dalam mendepani perubahan gaya hidup, persekitaran ekonomi dan teknologi masa kini.
Antaranya isu yang dibincangkan dalam forum tersebut adalah trend terkini dalam pasaran pengguna kesihatan, termasuk pertumbuhan makanan berfungsi (functional food), produk berasaskan bahan semula jadi, penyelesaian nutrisi yang diperibadikan serta corak pembelian generasi pengguna baharu.
Ia juga membincangkan bagaimana inovasi produk mampu meningkatkan pengalaman pengguna serta bagaimana syarikat boleh memperkukuhkan daya saing melalui inovasi formulasi, reka bentuk pembungkusan dan strategi pemasaran berasaskan gaya hidup.
Forum ini turut berkongsi ilmu dan pengalaman daripada pemain industri mengenai pengalaman mereka dalam mentransformasikan jenama kesihatan tradisional kepada jenama gaya hidup sihat yang lebih relevan dengan keperluan pengguna masa kini.
Perbincangan turut merangkumi penggunaan pemasaran digital, platform e-dagang dan kerjasama rentas industri dalam mewujudkan model perniagaan baharu yang lebih berdaya.
Selain itu, pentas forum ini menjelaskan perkembangan terkini pasaran Asia, strategi pengantarabangsaan jenama serta pengalaman kerjasama rentas sempadan bagi membantu syarikat mengenal pasti peluang pertumbuhan baharu dan membina kelebihan daya saing di peringkat antarabangsa. -KOSMO! ONLINE














