CHICAGO – Penggempur Norway, Erling Haaland seakan melancarkan perang psikologi menjelang pertemuan menentang Perancis awal pagi esok bagi penentuan status juara Kumpulan I.
Penjaring terbanyak Norway untuk aksi di Piala Dunia itu mengakui Perancis yang bakal diketuai oleh Kylian Mbappe adalah pasukan pilihan untuk menewaskan mereka pada perlawanan itu nanti.
Norway dan Perancis masing-masing sudah mengesahkan kelayakan ke pusingan 32 terbaik selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing, Senegal dan Iraq dengan berkongsi enam mata, namun Les Blues memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
Walaupun Norway perlu mengalahkan Perancis untuk muncul juara kumpulan, penyerang Manchester City itu mengakui tidak peduli tentang keputusan perlawanan itu kerana pasukannya sudah mencapai objektif utama layak ke peringkat kalah mati.
“Sejujurnya saya tidak terlalu peduli (tentang perlawanan menentang Perancis). Kami sudah layak, kami berjaya melakukannya dan itu sesuatu yang luar biasa.
“Jadi, saya tidak begitu kisah tentang perlawanan itu sekarang. Mereka (Perancis) mungkin akan menang menentang kami, mereka juga mungkin akan memenangi keseluruhan kejohanan ini,” katanya.
Perlawanan itu juga turut menjadi tumpuan apabila Haaland bakal berdepan Mbappe ketika kedua-dua pemain berkenaan sudah menjaringkan empat gol selepas dua perlawanan.
Sementara itu, pengendali Norway, Stale Solbakken mengakui sangat bertuah kerana memiliki penyerang sehebat Haaland dan pemain itu mampu untuk muncul penyerang terbaik dalam edisi kali ini. – AGENSI














