fbpx
Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya. - Gambar hiasan

Bolehkah membina monumen peringatan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APAKAH hukumnya membina memorial atau monumen sebagai peringatan bagi satu-satu peristiwa?

JAWAPAN: MENGIKUT Kamus Dewan Edisi Keempat, monumen ialah bangunan (patung dll) yang dibina untuk memperingati seseorang atau sesuatu peristiwa penting.

Sedangkan maksud memorial pula ialah sesuatu yang dibina (didirikan) untuk memperingati seseorang tokoh atau sesuatu peristiwa bersejarah.

Berdasarkan definisi di atas, jelas kepada kita ia bersifat sebuah bangunan atau binaan bertujuan memperingati seseorang atau satu-satu peristiwa yang berlaku.

Marilah kita merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21-23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera.

Muzakarah telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.

Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.

Bagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan serta amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.

Acara-acara seperti majlis peringatan termasuk bacaan doa selamat, yasin, tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut. Sebaliknya, hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan berkaitan.

Secara zahirnya, pembinaan apa jua bentuk binaan sama ada monumen, tugu atau sebagainya adalah sebagai tanda peringatan. Amalan ini jelas ditegah oleh Islam sekiranya binaan tersebut merupakan ukiran patung manusia atau haiwan. Apa jua bentuk binaan atau ukiran, jika ia bertujuan untuk diagung-agungkan dan bersifat membazir, ia amat ditegah oleh Islam. Bagaimanapun, jika ia hanya sekadar binaan biasa atau ukiran nama-nama sebagai tanda kenangan sejarah dan tidak berlebih-lebihan, maka ia tiada halangan.

Amalan atau perbuatan membina tugu telah diwarisi oleh umat Islam daripada pihak penjajah. Acara-acara seperti bertafakkur, nyanyian, tiupan rouse dan meletakkan kalungan bunga di hadapan tugu mengandungi unsur-unsur syirik serta ditegah oleh Islam.

Amalan membina tanda peringatan sekiranya dibiarkan tanpa kawalan dan panduan, akan berleluasa dan sukar dikawal pada masa akan datang.

Satu garis panduan perlu disediakan bagi memastikan hanya tanda peringatan yang tertentu sahaja dibenarkan tanpa sebarang unsur-unsur pembaziran.

Fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan sebelum ini iaitu mengenai amalan tiupan ‘Last Post’, bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan rouse hendaklah dikekalkan.

Secara umumnya, pembinaan yang berupa patung atau tugu terdapatnya objek manusia atau haiwan yang cukup sifat atau sebahagian besarnya adalah dilarang sama sekali.

Berkenaan dengan patung yang telah dicacatkan seperti tiada kepalanya, maka ketika itu hukumnya harus berdasarkan kepada pendapat jumhur ulama.

Walaupun begitu, ada para ulama yang bertegas dengan mengatakan tidak boleh sama sekali, seperti Imam Mutawalli bermazhab Syafi’i menyebut: “Tidak ada beza sama ada dipotong kepala patung tersebut atau tidak.” Ini bererti membuat atau membina sebarang patung adalah haram. (Lihat al-Fath 12/512)

Begitu juga jika dikhuatiri menjadi tempat pemujaan atau tafakur dalam bentuk seperti penyembahan atau penghormatan yang berlebihan juga tidak dibenarkan sama sekali.

Jika sekadar memperingati semata-mata, maka hukumnya adalah dibolehkan dengan syarat-syarat atau dawabit yang perlu dipenuhi oleh pihak yang ingin membinanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN