BOSTON – Ketua pasukan Perancis, Kylian Mbappe menjelaskan fokus utamanya adalah membantu Perancis memburu trofi Piala Dunia dan enggan memikirkan mengenai matlamat peribadi.
Mbappe ketika ini sudah mengumpul empat gol apabila meledak dua gol dalam kedua-dua perlawanan awal menentang Senegal serta Iraq dan mampu menambah jaringan menjelang pertemuan menentang Norway awal pagi esok.
“Saya tidak memikirkan perkara itu buat masa ini. Saya fikir amat penting untuk kami mempunyai suasana berpasukan yang baik supaya kami dapat menyesuaikan diri dan memahami peranan masing-masing.
“Ia memberi keyakinan kepada kami terhadap kekuatan pasukan apabila ia benar-benar diperlukan. Saya sentiasa menjaringkan gol dalam Piala Dunia, jadi ia bukan sesuatu yang saya fikirkan atau risaukan.
“Tetapi, seperti yang saya katakan, keutamaan kami adalah bermain untuk pasukan kerana kami tahu semakin jauh kami mara dalam kejohanan ini, semakin sukar cabaran yang bakal dihadapi. Untuk memenangi Piala Dunia, anda perlu mengalahkan semua lawan. Jadi ia akan menjadi sangat sukar,” katanya.
Perancis mengharapkan ketajaman Mbappe dalam pertemuan menentang Norway awal pagi esok untuk membolehkan mereka mara ke pusingan 32 dengan status juara kumpulan selepas terikat enam mata selepas dua perlawanan.
Mbappe meledak dua gol ketika menentang Iraq untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sebelum ini Miroslav Klose dengan 16 gol, namun penggempur Argentina turun menambah dua lagi jaringan untuk muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman yang baharu dengan 18 gol.
“Saya langsung tidak memerhatikan apa yang dia lakukan. Fokus saya adalah membantu pasukan saya. Kami akan melakukan segala yang termampu untuk muncul sebagai juara pada penghujung perjalanan yang penuh cabaran ini,” jelasnya. – AGENSI














