SEPANG – Bekas pengarang berita di sebuah syarikat televisyen swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas petuduhan membuat hantaran komunikasi palsu menerusi Facebook miliknya.
Mohd. Khaidir Ahmad selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, OKS secara sedar didakwa membuat penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya menerusi Facebook menggunakan akaun ‘Khaidir Ahmad’ pada 8.55 pagi, 12 April lalu.
Hantaran itu mendakwa sebuah kapal membawa 52 juta liter diesel bersubsidi dari Sabah untuk diseludup ke Filipina selain mempersoalkan pihak didakwa meraih keuntungan daripada kegiatan tersebut.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Sabit kesalahan, OKS boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara maskimum dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Siti Hajar Sulaiman mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, namun OKS yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan lebih rendah dengan alasan tiada pencen dan diisytihar muflis.
Selain itu, OKS turut menanggung empat anak yang masih belajar di kolej dan sekolah serta seorang isteri yang lumpuh akibat strok.
Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














