fbpx
Gambar hiasan.

PRN Johor: PH ketandusan calon MB – Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor mempersoalkan tawaran yang mampu dikemukakan Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat negeri ini sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sehingga kini PH masih gagal menampilkan calon Menteri Besar yang jelas untuk ditawarkan kepada rakyat selain tidak mengemukakan pelan pembangunan yang meyakinkan bagi masa depan Johor.

“Mereka bercakap soal perubahan, tetapi rakyat mahu tahu siapa calon Menteri Besar mereka. Sampai hari ini masih tiada jawapan yang jelas diberikan kepada rakyat. Bukan itu sahaja, saya juga tidak melihat sebarang idea pembangunan baharu atau perancangan yang boleh membawa Johor ke tahap lebih tinggi berbanding apa yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam pertemuan khas bersama media di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, di sini kelmarin.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri diterajui BN ketika ini mempunyai rekod pencapaian yang boleh dinilai rakyat termasuk kejayaan menarik pelaburan bernilai lebih RM110 bilion, peningkatan hasil negeri serta pelbagai program kebajikan.

Katanya, pelbagai inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ), bantuan perumahan, bantuan sewa rumah, bantuan pembelian rumah, program sifar miskin tegar dan pelbagai lagi telah dilaksanakan tanpa mengira kaum atau latar belakang penerima.

Dalam masa sama, beliau mendakwa kempen pihak lawan lebih banyak tertumpu kepada serangan politik berbanding menawarkan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi rakyat negeri ini.

“Setakat ini apa yang saya lihat, mereka lebih banyak menabur fitnah, memainkan fakta yang tidak tepat dan menghasut rakyat dengan perkara-perkara yang tidak betul berbanding mengemukakan idea atau dasar yang boleh memajukan Johor.

“Rakyat Johor cukup matang untuk menilai. Mereka boleh membezakan antara fakta dan fitnah serta menentukan siapa yang benar-benar mempunyai perancangan terbaik untuk masa depan negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN