SUNGAI BULOH – Seorang lelaki lemas ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah tangki air di Kolam Menara Saujana Perdana, Jalan Saujana Perdana 18, Bandar Saujana Perdana di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.51 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun dikatakan berada di atas tangki air sebelum dipercayai tersedut ke dalam tangki berkenaan dan gagal menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.51 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira pukul 12.17 tengah hari.
“Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Berdasarkan maklumat awal daripada pemanggil, mangsa dipercayai tersedut dan lemas di dalam tangki air tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari tangki berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














