PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di beberapa kawasan di Semenanjung hingga petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah seluruh Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan Kelantan (Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman), Pahang (Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin), Melaka dan Johor,” katanya.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













