fbpx
DUA ekor gajah denak digunakan dalam operasi pemindahan gajah liar di Kampung Bongor, Gerik hari ini.

Mula-mula teruja, selepas itu cemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERIK – Seorang suri rumah berdepan detik cemas selepas melihat kawanan gajah liar muncul di belakang rumahnya di Jalan Tok Bali, Kampung Bongor di sini pada Khamis lalu.

Menurut Siti Rasidah Abd. Lateh, 43, kejadian pada pukul 7 pagi itu berlaku ketika dia yang berada di ruang dapur mendengar bunyi bising dari arah belakang rumahnya.

Katanya, pada mulanya, dia berasa teruja melihat kemunculan haiwan itu sebelum merakam gambar dan video, namun perasaan tersebut bertukar cemas apabila kawanan gajah terbabit mula bergerak menghampiri rumahnya.

“Dalam keadaan takut, saya masih teruja merakam gambar dan video. Bila gajah-gajah itu mula bergerak (ke arah rumah), saya cemas dan menjerit sehingga menyebabkan anak-anak terjaga.

“Secara kebetulan, terdapat beberapa anggota Perhilitan berhampiran rumah, jadi mereka segera membantu menembak haiwan itu menggunakan ubat pelali,” katanya ditemui ketika operasi pemindahan gajah liar di Kampung Bongor hari ini.

Menurut Siti Rasidah, malam sebelum kejadian, dia mendengar tempikan gajah di kawasan berhampiran bermula pukul 7 malam hingga 12.30 tengah malam.

Wanita itu bagaimanapun terkejut apabila bunyi itu berselang-seli dengan pokok pisang tumbang yang kedengaran terlalu hampir dengan kediamannya.

“Suami dan anak saudara cuba baling mercun untuk menghalau, tetapi gajah-gajah itu tidak berganjak. Suami beritahu mungkin terdapat berbelas ekor gajah di kawasan kebun getah dan pisang.

“Jadi saya segera menghubungi pihak Perhilitan untuk meminta bantuan kerana bimbang perkara buruk terjadi disebabkan kawasan ini berada terlalu hampir dengan rumah penduduk,” katanya.

Tambahnya, kemunculan gajah liar di kampung itu bukan perkara baharu, malah sebelum ini penduduk turut berdepan ancaman harimau yang berkeliaran di kawasan berkenaan.

“Pada awal tahun ini, adik ipar saya membuat aduan selepas lembu ternakannya dibaham harimau. Malah, tiga hari lalu, empat hingga lima ekor kambing pula menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Mohd. Taufik Abdul Rahman berkata, operasi kali ini melibatkan tangkapan 12 gajah liar di Kampung Bongor dan dua ekor lagi di Tanjung Rimbun, Kampung Bandariang.

Katanya, semua haiwan yang dipindahkan secara berperingkat itu akan ditempatkan di habitat asal yang jauh dari penempatan manusia.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN