fbpx
ANGGOTA bomba dan petugas perubatan memberikan bantuan awal kepada salah seorang mangsa yang parah dalam insiden lif di sebuah hotel di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka, hari ini.

Dua parah, lif terjatuh dari tingkat tujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Dua pekerja penyelenggaraan lif warga India cedera parah selepas terperangkap dalam runtuhan lif yang terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel di Jalan Syed Abdul Aziz di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 pagi tadi, kedua-dua mangsa lelaki berusia 27 tahun dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan lif sebelum kemalangan berlaku.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.55 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian dan mendapati terdapat dua mangsa terperangkap dalam runtuhan lif yang jatuh dari tingkat tujuh bangunan hotel berkenaan.

“Operasi menyelamat segera dijalankan bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam runtuhan lif tersebut.

“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum mereka diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah akibat insiden itu.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN