PETALING JAYA – Tindakan seorang penunggang motosikal yang bukan sahaja tidak memakai topi keledar, malah menukar lorong secara mengejut mengundang kecaman orang ramai selepas menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal terbabas dalam kejadian berhampiran Setapak, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Kejadian itu tular selepas rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan dikongsikan di Facebook, Info Roadblock Seluruh Malaysia memaparkan seorang penunggang motosikal secara tiba-tiba memasuki lorong lain tanpa memberi isyarat.
Akibat tindakan tersebut, seorang lagi penunggang motosikal yang berada berhampiran dipercayai tidak sempat mengelak sebelum hilang kawalan dan terbabas ke arah kanan jalan.
Mangsa kemudian dilihat melanggar bahagian sisi sebuah kereta yang berada di lorong bersebelahan sebelum terjatuh di atas jalan raya.
Lebih mengecewakan, penunggang motosikal yang dipercayai menjadi punca kejadian itu dilihat segera meninggalkan lokasi selepas mangsa cuba meminta penjelasan.
Rakaman berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan individu terbabit sebagai tidak bertanggungjawab dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Dia yang buat silap, orang lain yang jadi mangsa. Lepas tu selamba saja jalan macam tiada apa-apa berlaku,” kata Asyikin.
“Macam itu sahaja dia ‘blah’. Dengan tak tolong, tahu la dah berumur, tolong mana patut,” kata Wan Rosliliyati.
Seorang lagi pengguna, Zack turut mempersoalkan tindakan penunggang motosikal tersebut yang menunggang tanpa memakai topi keledar.
“Sudahlah tak pakai helmet, tukar lorong sesuka hati. Bila orang jatuh sebab dia, terus cabut. Memang tak bertanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, ramai berharap pihak berkuasa dapat mengesan individu terbabit dan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut termasuk mengenakan saman. – KOSMO! ONLINE














