TUMPAT – Taktik untuk menjenamakan 8,800 helai kain batik seludup bernilai RM1.76 juta kepada batik bermutu tinggi dari Terengganu gagal selepas lori yang membawa barangan itu ditahan di Kampung Simpangan di sini semalam.
Pemandu lori berusia 33 tahun itu ditahan pada pukul 7.30 pagi selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan tinjauan udara menggunakan dron di pangkalan haram Nibong di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya mendapati sebuah lori memasuki pangkalan haram sebelum sebuah perahu membawa muatan beberapa guni dari arah Thailand menuju ke kawasan berkenaan.
Katanya, beberapa lelaki dilihat memunggah guni dari perahu ke bahagian belakang lori sebelum kenderaan tersebut bergerak keluar dari pangkalan haram itu.
“Anggota PGA menahan pemandu lori di Kampung Simpangan. Pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa kira-kira 8,800 helai kain batik bernilai RM1.76 juta.
“Siasatan lanjut mendapati, pemandu lori itu menerima upah sebanyak RM50 daripada seorang lelaki dikenali sebagai Faiz untuk membawa barangan tersebut.
“Kain batik itu akan dihantar ke sebuah rumah di kawasan Pasir Tumboh, Kota Bharu sebelum dipasarkan sebagai kain batik bermutu tinggi dari Terengganu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat pemandu lori itu tidak mempunyai maklumat lokasi kain batik tersebut akan dipasarkan.
Pemandu lori dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE














