BENTONG – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1 di sini apabila jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 43. 2 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) Bentong dekat Bukit Tinggi semalam dikebumikan di kawasan tanah perkuburan berkenaan pada pukul 7.15 malam tadi.
Jenazah A. Halim Hasoon, 55, isterinya Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka, Norbahyah A. Halim, 26, serta cucu perempuan berusia setahun, Nayla Afya Aizat Faizal disemadikan dalam satu kubur sekali gus mengundang sebak dalam kalangan ahli keluarga dan hadirin.
Terdahulu, tiga van yang membawa semua jenazah tiba di tanah perkuburan pada pukul 6.15 petang selepas selesai proses bedah siasat dan pengurusan di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Sebelum itu, kesemua jenazah disolatkan kali pertama di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh sebelum dibawa ke Surau Felda Mempaga 1 di sini untuk disembahyangkan buat kali kedua.
Jenazah kemudiannya dibawah ke tanah perkuburan yang terletak kira 200 meter dari surau berkenaan.
Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta penduduk setempat yang hadir memberikan penghormatan terakhir. – KOSMO! ONLINE














