SETIU – Seorang peniaga berputih mata kerugian RM 329,400 akibat diperdaya tender pembekalan stesen tenaga mudah alih yang tidak wujud.
Lelaki berusia 40-an itu yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di sini pada semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, pada mulanya, peniaga tersebut telah dihubungi individu tidak dikenali mengaku kononnya pegawai sebuah jabatan kerajaan pada 11.59 pagi, 4 Mei lalu.
“Mangsa ditawarkan kononnya tender pembekalan 22 stesen tenaga mudah alih.
“Suspek juga telah mencadangkan syarikat yang kononnya boleh membekalan peralatan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Zahril Asri berkata, peniaga yang tidak mengesyaki apa-apa telah berurusan dengan wakil syarikat terbabit sebelum membuat pembayaran perolehahan.
Beliau berkata, lelaki itu membuat pembayaran keseluruhan RM329,400 menerusi empat akaun diberi suspek.
“Mangsa hanya menyedari dirinya tertipu setelah merujuk kepada pegawai jabatan kerajaan terlibat yang menafikan pengeluaran tender terbabit.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














