MELAKA – Warga Rohingya mencatatkan jumlah tertinggi ditahan dalam Ops Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di beberapa lokasi di negeri ini hari ini.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, seramai 22 warga Rohingya dikesan melakukan pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang operasi yang dilaksanakan di Kelebang, Kampung Limbongan, Melimau, Jasin dan Melaka Sentral.
Menurut beliau, jumlah itu diikuti warga Pakistan seramai 10 orang, Bangladesh (sembilan), Indonesia (lima) dan Vietnam (dua).
“Bagi operasi hari ini, warga Rohingya merupakan yang paling ramai dikesan melakukan kesalahan jalan raya.
“Namun secara keseluruhan bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Jun lalu, warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi dengan 52 kes, diikuti Pakistan dan Bangladesh,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi tersebut di Ibu Pejabat JPJ negeri di Bukit Katil di sini, hari ini.
Terdahulu, JPJ Melaka memeriksa 147 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 49 daripadanya melibatkan 44 motosikal serta lima kereta.
Sebanyak 98 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 49 kenderaan disita kerana kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tidak mempunyai perlindungan insurans.
Mengulas lanjut, Siti Zarina berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan menggunakan kenderaan tersebut untuk urusan bekerja dan berniaga.
Katanya, siasatan mendapati semua kenderaan yang digunakan adalah milik rakyat tempatan yang dipercayai memberi kebenaran kepada warga asing untuk menggunakannya.-KOSMO! ONLINE














