PETALING JAYA – Malaysia dan Jepun terus memperkukuh hubungan ekonomi strategik menerusi penerokaan kerjasama baharu dalam bidang keselamatan tenaga, mineral kritikal, kecerdasan buatan (AI) serta industri automotif, khususnya pembangunan kenderaan tenaga baharu (NEV).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala beliau dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Ryosei Akazawa sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun.
Menurut beliau, Jepun kekal sebagai antara rakan ekonomi paling penting bagi Malaysia yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara melalui pelaburan, pemindahan teknologi dan kerjasama industri sejak sekian lama.
“Dalam pertemuan tersebut, kami membincangkan usaha untuk mempertingkatkan kerjasama dalam aspek keselamatan tenaga di rantau ASEAN.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai pembangunan mineral kritikal, AI dan industri automotif, khususnya berkaitan pembangunan NEV,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Johari berkata, hubungan erat Malaysia-Jepun yang terjalin selama beberapa dekad memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara, terutama dalam memperkukuh daya saing industri dan pertumbuhan ekonomi.
Beliau turut menyifatkan pertemuan itu sebagai platform penting untuk meneroka peluang kerjasama baharu sejajar dengan perubahan landskap ekonomi global yang semakin dipacu oleh teknologi dan agenda kelestarian.
Jepun merupakan antara pelabur asing terbesar di Malaysia dengan penglibatan aktif dalam sektor pembuatan, elektronik, automotif dan teknologi tinggi. – KOSMO! ONLINE














