PETALING JAYA – Tindakan segelintir jemaah dewasa menghalau kanak-kanak yang datang awal ke masjid daripada berada di saf hadapan disifatkan sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan pandangan ulama.
Perkara itu dijelaskan penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menerusi satu perkongsian video yang kini tular di media sosial.
Menurut beliau, jika orang dewasa dan kanak-kanak hadir ke masjid pada masa yang sama, orang dewasa mempunyai keutamaan untuk berada di saf hadapan manakala kanak-kanak boleh berada di saf belakang.
Namun katanya, keadaan berbeza jika kanak-kanak yang sudah mumayiz hadir lebih awal dan telah mengambil tempat dalam saf hadapan.
“Kalau budak mumayiz datang dahulu, dia berhak berada pada saf yang dia duduki itu. Orang dewasa yang datang kemudian tidak boleh menghalau atau menyuruhnya berpindah ke belakang,” katanya.
Jelas UAI, kanak-kanak mumayiz merujuk kepada kanak-kanak yang belum baligh tetapi sudah memahami ibadah dan mampu mengerjakan solat dengan betul.
Beliau berkata, pandangan tersebut adalah berdasarkan huraian ulama yang menyatakan hak seseorang terhadap tempat dalam saf ditentukan oleh siapa yang datang lebih awal.
“Bukan sebab dia budak, kita boleh suruh dia bangun dan pergi ke belakang. Itu tidak betul,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kanak-kanak yang terlalu kecil seperti berusia dua atau tiga tahun serta bayi yang belum memahami solat boleh ditempatkan di saf belakang bersama penjaga mereka.
“Budak yang belum sah solatnya, yang masih terlalu kecil dan tidak mengerti solat, itu lain cerita. Mereka boleh berada di belakang supaya tidak mengganggu jemaah,” katanya.- KOSMO! ONLINE.
@jack_bachok #kelantanese ♬ bunyi asal – 🔍














