KOTA BHARU – Exco daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan kekal menjalankan tugas seperti biasa meskipun Pas memutuskan kerjasama politik dengan parti itu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kedudukan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor sebagai Exco kerajaan negeri setakat ini tidak berubah kerana perkara itu belum dibincangkan oleh kerajaan negeri.
Katanya, keputusan yang diumumkan malam tadi hanya melibatkan urusan antara parti.
“Kedudukan dalam kerajaan negeri masih belum dibincangkan lagi. Selain itu, Timbalan Pengerusi Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Bahari Mohd. Nor yang juga daripada Bersatu boleh meneruskan tugas seperti biasa,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Kamarudin menyerahkan kedudukannya sebagai Exco Kerajaan Negeri kepada Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud selepas Pas memutuskan kerjasama politik dengan parti itu.
Kamarudin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan berkata, beliau ketika ini masih meneruskan tugas dalam kerajaan negeri seperti biasa.
“Selagi tiada sebarang keputusan, saya terus bekerja. Setakat ini, saya belum menerima sebarang makluman daripada Menteri Besar atau pucuk pimpinan Bersatu berhubung status saya sebagai Exco di Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














