fbpx
UMAVATHI (tengah) bersama kakak, Thanaletchumy (kiri) dan adiknya, Kaithiri mendaftar sebagai penderma organ bagi membantu insan yang memerlukan meneruskan kehidupan yang lebih baik.

Tiga beradik ikrar derma organ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiga beradik perempuan dari Nibong Tebal, Pulau Pinang nekad menjadi penderma organ sebagai bakti terakhir mereka setelah meninggal dunia kelak.

Keputusan untuk menderma organ itu bukan satu perjalanan yang mudah kerana pada mula­nya, mereka ditentang ahli keluarga sendiri terutama ibu yang marah sebaik mengetahui me­ngenai hasrat murni tersebut.

R. Umavathi, 40-an, berkata, dia mula mendaftar sebagai penderma organ pada 2015 sebelum kakak yang berusia 46 tahun dan adiknya mengikut jejak langkah sama tahun lalu.

“Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak konservatif terutama emak. Mereka tidak didedahkan dengan topik pendermaan organ.

“Semasa berkongsi mengenai hasrat ini 11 tahun lalu, emak kurang bersetuju dan memarahi saya. Jadi saya hentikan perbualan itu kerana mungkin dia belum memahami konsep pendermaan organ,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Umavathi berkata, secara perlahan-lahan dia cuba menyakinkan ahli keluarganya mengenai kepentingan pendermaan organ bagi membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Wanita itu bernasib baik ke­rana bapanya sentiasa memberikan sokongan dan menghormati keputusan tersebut.

Katanya, kematian abang ipar pada September tahun lalu akibat kemalangan menjadi pencetus semangat kepada kakak dan adiknya yang berusia dalam lingkungan 30-an untuk mendaftar sebagai penderma organ.

“Saya masih ingat selepas abang ipar meninggal dunia akibat nahas jalan raya, kakak berkata ‘Kalau boleh menderma organ suami, sekurang-kurang­nya ada orang lain masih boleh meneruskan hidup’,” ujarnya.

Katanya, hasratnya untuk menderma organ bermula selepas dia melihat situasi pesakit kronik yang memerlukan organ terpaksa bergelut untuk meneruskan hidup.

“Hanya satu perkara yang bermain dalam fikiran, saya cuba meletakkan diri dalam situasi di mana ahli keluarga sendiri memerlukan organ untuk meneruskan hidup.

“Kalau suatu hari nanti orang yang kita sayang berada dalam senarai menunggu organ, sudah tentu kita berharap ada seseorang yang sanggup membantu.

“Dari situ, saya sedar saya juga boleh menjadi individu yang memberi harapan kepada keluarga lain,” katanya.

Sementara itu, R. Kaithiri memberitahu, dia mengambil keputusan menderma organ kera­na ia merupakan salah satu cara untuk membantu insan lain yang memerlukan.

“Sebagai seorang doktor, saya selau melihat pesakit yang memerlukan organ untuk meneruskan hidup.

“Jika organ saya boleh membantu menyelamatkan nyawa seseorang atau memberi peluang lebih baik, ini perkara yang sa­ngat baik dan bermakna,” katanya.

Kaithiri mengakui masih ramai masyarakat yang bimbang atau takut untuk menderma organ dan menasihatkan mereka supaya mendapatkan maklumat yang betul dan tepat.

“Berbincanglah dengan ahli keluarga supaya mereka memahami hasrat kita,” ujarnya.

Mengikut data terkini di laman sesawang Derma Organ, setakat semalam, bilangan pesakit yang masih menunggu organ adalah seramai 10,170 orang.

Pesakit yang memerlukan buah pinggang menunjukkan jumlah tertinggi iaitu 9,805 individu dewasa dan 322 kanak-kanak. Selain buah pinggang, organ yang diperlukan terma­suklah jantung iaitu 16 pesakit, hati (16), jantung dan paru-paru (8) dan paru-paru tiga pesakit.

Sehingga kini, seramai 432,183 individu mendaftar sebagai penderma organ dan pada tahun ini sahaja, seramai 15,795 berdaftar telah berbuat demikian.

Kosmo! sebelum ini melaporkan keengganan waris memberi persetujuan menjadi antara cabaran terbesar bagi kempen pendermaan organ di negara ini sehingga menyebabkan ribuan pesakit terpaksa menunggu lebih lama untuk menerima organ baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN