PETALING JAYA – AvantHealth dengan kerjasama Monash University Malaysia berjaya menganjurkan Grand Finale MINDSPARK bertemakan Igniting a Dementia-Inclusive Future di Monash University Malaysia di sini baru-baru ini.
Program tersebut menghimpunkan pelajar, ahli akademik, pemain industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan kesedaran serta keterangkuman terhadap penyakit demensia.
Acara itu merupakan kemuncak kerjasama selama setahun antara AvantHealth dan Monash University Malaysia yang bermula dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada April 2025 sebelum pelancaran rasmi pertandingan MINDSPARK pada Jun tahun lalu.
Melalui inisiatif berkenaan, pasukan pelajar diberi peluang merangka dan melaksanakan projek komuniti berkaitan demensia dengan dana permulaan sebanyak RM6,000 yang disediakan oleh AvantHealth.
Penganjur program, Dr. Dinesh Sangarran Ramachandram berkata, peserta menunjukkan peningkatan ketara dalam tahap pengetahuan mengenai demensia berdasarkan penilaian sebelum dan selepas program dijalankan.
Menurutnya, kejayaan program itu turut dibuktikan menerusi penglibatan semakin banyak universiti, NGO dan organisasi komuniti dalam memperluaskan kesedaran mengenai penyakit berkenaan.
“Kami berhasrat memperluaskan program ini ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi membina ekosistem kesedaran demensia yang inklusif dan mampan.

“Melalui kerjasama institusi akademik, industri, NGO dan golongan belia, perubahan sosial yang bermakna mampu dicapai apabila semua pihak berganding bahu,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Saintifik AvantHealth, Profesor Emeritus Yuen Kah Hay berkata, jumlah penghidap demensia di Malaysia menunjukkan peningkatan setiap tahun termasuk melibatkan pesakit seawal usia 16 tahun.
“Program seperti ini amat penting bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, malah memberi pendedahan mengenai kepentingan perubahan gaya hidup dalam mencegah penyakit ini selain membantu penjagaan pesakit demensia,” katanya.
Kemuncak program menyaksikan tiga pasukan finalis membentangkan impak dan hasil pelaksanaan projek masing-masing sepanjang tempoh enam bulan.
Projek yang diketengahkan memberi fokus kepada peningkatan kesedaran mengenai demensia, pengukuhan keterangkuman sosial, sokongan kepada penjaga pesakit serta penglibatan komuniti.
Selepas sesi penilaian akhir, pasukan Synap5e of Memory dinobatkan sebagai juara MINDSPARK dan menerima dana pembangunan bernilai RM10,000 bagi memperluaskan inisiatif mereka dalam komuniti. -KOSMO! ONLINE














