fbpx
FAKTOR utama seseorang mudah hilang di hutan adalah keadaan muka bumi di Malaysia tebal dengan tumbuhan, mempunyai banyak cerun serta laluan hampir serupa.

Bunian, mistik bukan panduan cari orang hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SESAT dan hilang di dalam hutan menjadi antara risiko paling besar yang perlu dihadapi setiap individu semasa mendaki.

Sama ada mendaki bukit rekreasi mahupun gunung ekstrem yang mencabar, ancaman itu sentiasa wujud dan boleh bertukar menjadi tragedi.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kehilangan Nur Izzati Humaira Azizul ketika aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim, Perak.

Remaja perempuan berusia 19 tahun itu kemudian ditemukan maut sekitar pukul 11.58 pagi oleh Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan
Penyelamat (STORM) selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Dalam masa sama, seorang lagi pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, turut dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi ‘Trans Spencer Chapman’ di Tapah, Perak sejak 24 Mei lalu.

Jaslinda yang kali terakhir dilihat di Kem Baru Core berhampiran puncak Gunung Batu Putih bagaimanapun ditemui selamat oleh Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh.

Meskipun seluruh negara bersimpati dengan tragedi tersebut, kedua-dua insiden itu secara tidak langsung mencetuskan pelbagai perbincangan mengenai risiko aktiviti pendakian termasuk dakwaan berkaitan mistik.

Di media sosial pula, penuh dengan cerita mengenai gangguan makhluk halus, ‘disorok bunian’ dan laluan ghaib yang didakwa antara faktor sebagai punca mangsa gagal dikesan.

Malah, tidak kurang juga individu tampil mendakwa mempunyai kebolehan tertentu untuk mengesan lokasi mangsa.

Namun, hakikatnya unsur mistik bukan panduan utama dalam operasi pencarian orang hilang kerana ia lebih banyak bersandarkan kepada andaian berbanding fakta sebenar.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Malaysia, Muzafar Mohamad berkata, operasi SAR perlu berpandukan kronologi kejadian, bentuk muka bumi serta pengalaman anggota penyelamat di lapangan.

Menurutnya, kebanyakan maklumat yang diperoleh menerusi kaedah alternatif tidak dapat dipastikan kesahihannya dan kadangkala hanya mengganggu fokus pasukan penyelamat.

“Dalam operasi SAR, kita perlu fokus kepada fakta seperti lokasi terakhir mangsa dilihat, tahap kecergasan, cuaca dan kemungkinan laluan yang digunakan.

“Kalau terlalu percaya kepada unsur mistik, ia boleh menyebabkan operasi tersasar dan melambatkan usaha mencari mangsa,” katanya.

Beliau berkata, negara sebelum ini pernah digemparkan dengan kehilangan Nur Umaisarah Same’aun atau Umai di Gunung Tahan selama 19 hari serta kes kehilangan Mohd. Azarul Mukhriz di Bukit Broga pada 2017.

Bagaimanapun, katanya, apabila kedua-dua mangsa ditemukan, tiada bukti jelas menunjukkan mereka ‘disembunyikan’ makhluk halus seperti yang didakwa segelintir pihak.

Menurut Muzafar, faktor utama seseorang mudah hilang di kawasan hutan adalah keadaan muka bumi di Malaysia yang tebal dengan tumbuhan, mempunyai banyak cerun serta laluan yang hampir serupa.

Tambahnya, dalam keadaan panik dan keletihan, seseorang pendaki boleh tersasar hanya beberapa meter daripada laluan asal sebelum gagal mencari jalan keluar.

Katanya, masyarakat perlu memahami bahawa operasi mencari orang hilang bukan tugas mudah kerana pasukan penyelamat berdepan pelbagai risiko termasuk cuaca buruk, haiwan liar dan bentuk muka bumi berbahaya.

Justeru, jangan terlalu cepat mengaitkan sesuatu kehilangan dengan unsur mistik sebaliknya memberi ruang kepada pasukan SAR menjalankan tugas secara profesional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN