SUNGAI PETANI – Rakyat diingatkan agar tidak terpengaruh dengan politik kebencian dan sentimen perkauman yang boleh menggugat perpaduan negara, termasuk dalam konteks politik di Johor dan Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, matlamat utama dalam sistem demokrasi bukan semata-mata mengejar kemenangan politik, sebaliknya mempertahankan prinsip keadilan dan kesaksamaan demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, tokoh pemikir dan negarawan India, B. R. Ambedkar sering menekankan bahawa tuntutan utama dalam sesebuah masyarakat demokratik ialah keadilan dan kesaksamaan.
“Sekarang ini orang bercakap soal demokrasi bertarung di Johor, Negeri Sembilan. Siapa menang, siapa rebut kuasa, siapa kuat memaki hamun, siapa main api perkauman, siapa menanam kebencian, siapa yang kata kononnya darjat kami majoriti atau kami kaum minoriti.
“Tetapi Ambedkar berpesan bahawa perkara yang harus dituntut ialah keadilan dan kesaksamaan kerana melihat bukan sahaja daripada segi mata tetapi mata hati atau istilahnya ‘the dictates of the heart’,” katanya pada Majlis Serahan Geran Tahunan Kerajaan kepada Universiti AIMST di sini hari ini.
Anwar berkata, pesanan Ambedkar itu sarat dengan nilai kemanusiaan yang wajar dijadikan panduan dalam membentuk masyarakat serta mentadbir negara.
Katanya, seseorang tidak seharusnya dihina hanya kerana warna kulit, kepercayaan agama atau kedudukan sosial yang berbeza.
“Jangan hina orang kerana warna kulitnya, jangan hina orang kerana perbezaan kepercayaannya. Jangan hina orang kerana darjatnya, kamu anak orang besar, bangsawan, dengan orang yang di kampung yang miskin dan pakai pakaian robek,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa politik yang memainkan sentimen perkauman dan menyemarakkan kebencian tidak selari dengan prinsip kemanusiaan serta amalan demokrasi yang matang.
Tambahnya, politik yang sihat hanya dapat dibina sekiranya masyarakat mengutamakan nilai kemanusiaan seperti empati, hormat dan ihsan dalam membuat pertimbangan, bukannya dipengaruhi emosi kebencian atau prejudis. – KOSMO! ONLINE














