KUANTAN – Stadium Darul Makmur bakal melalui proses naik taraf selepas menerima peruntukan RM7 juta yang diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meningkatkan kemudahan serta keselesaan penonton di ‘venue’ utama sukan negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan berkenaan melibatkan kerja menaik taraf sistem lampu limpah, pendawaian elektrik dan tempat duduk penonton di stadium berkapasiti 40,000 penonton berkenaan.
Jelasnya, tender bagi projek tersebut akan dibuka bulan ini dan pelaksanaannya akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang.
“Saya gembira kerana padang kita sudah berada pada tahap dunia, dan kini kita menambah baik fasiliti lain seperti lampu limpah dan tempat duduk penonton.
“Peruntukannya sudah ada. Tendernya insya Allah pada bulan ini akan diuruskan oleh pihak JKR. Saya ucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan. Perjuangan saya lebih tiga tahun untuk tukar lampu limpah dan tempat duduk ini akhirnya tertunai,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Stadium Darul Makmur, di sini, malam semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu beliau memberitahu, pelancaran liga tersebut telah menarik kira-kira 30,000 penonton semalam membuktikan minat rakyat Pahang terhadap bola sepak masih utuh sekali gus memberi petanda positif terhadap usaha menghidupkan semula sukan berkenaan di negeri itu.
Jelas beliau, pelaksanaan liga tersebut adalah selaras dengan titah Al-Sultan Abdullah yang mahu bola sepak tempatan terus disemarakkan dan menjadi medium menyatukan rakyat di seluruh negeri.
Tambahnya, setiap persatuan bola sepak daerah telah diminta menyediakan sekurang-kurangnya 12 pasukan bagi bersaing di peringkat daerah sebelum juara masing-masing layak beraksi di peringkat negeri.
“Pertandingan di peringkat daerah dijangka bermula dalam tempoh dua minggu lagi dengan dua daerah menganjurkan perlawanan secara serentak setiap minggu.
“Saya nak menyeru rakyat Pahang agar mengambil kesempatan daripada pelaksanaan liga ini yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan mengambil bahagian dan menghantar pasukan,”katanya.-KOSMO! ONLINE














