fbpx
PARA penyokong tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tandatangan serta merakam gambar kenangan bersama pemain pasukan Pilihan Pahang dan pasukan Pilihan Selangor di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Penyokong serbu sesi bertemu pemain Liga Rakyat Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Peluang bertemu dan beramah mesra dengan pemain pasukan yang bakal beraksi dalam Liga Rakyat Pahang malam ini dimanfaatkan ratusan penyokong yang hadir ke program Meet and Greet sempena Perlawanan Persahabatan Pilihan Pahang menentang Pilihan Selangor.

Program yang berlangsung tiga jam sebelum sepak mula perlawanan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak dan golongan belia.

Suasana di lokasi program bertukar meriah apabila para pemain tiba dan disambut oleh penyokong yang tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tandatangan serta merakam gambar kenangan bersama mereka.

Bagi kebanyakan peminat, program tersebut menjadi platform terbaik untuk mengenali dengan lebih dekat pemain yang selama ini hanya disaksikan beraksi di atas padang.

Kehadiran ahli keluarga dan penyokong setia pasukan turut menyemarakkan suasana sekali gus membuktikan sokongan berterusan masyarakat terhadap pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini.

Seorang penyokong, Amran Abas, 61, sanggup menunggang motosikal selama kira-kira 45 minit dari Felda Bukit Goh bersama anak saudaranya, Nur Syahfieqkry Dzarhan Dahlan, 15, semata-mata untuk menyaksikan perlawanan antara pasukan Pilihan Pahang dan pasukan Pilihan Selangor.

Menurutnya, pertemuan kedua-dua pasukan itu mengimbau nostalgia era kegemilangan bola sepak tanah air sekitar 1990-an apabila Pahang dan Selangor dianggap antara gergasi bola sepak negara serta musuh tradisi yang sentiasa menjadi tumpuan peminat.

“Dulu kalau Pahang main di Stadium Darul Makmur, saya memang akan datang beri sokongan. Pernah juga pergi ke Stadium Shah Alam semata-mata nak tengok perlawanan Pahang. Memang tidak sama tengok di stadium dan di televisyen,” katanya ketika sesi Meet and Greet Perlawanan Persahabatan Pilihan Pahang menentang Pilihan Selangor sempena Majlis Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al Sultan Abdullah di Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.

Amran berkata, selepas pembubaran pasukan Sri Pahang FC, semangatnya untuk mengikuti bola sepak tempatan semakin berkurangan, namun program dan perlawanan seperti Liga Rakyat Pahang 1st ini berjaya mengembalikan semula kerinduan untuk hadir ke stadium.

Katanya, dia berharap sebuah pasukan bola sepak yang mewakili negeri Pahang dapat diwujudkan semula kerana masih ramai penyokong setia yang mahu memberikan sokongan termasuk dalam kalangan generasi muda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN