MUAR – Dua rakan tumpas dalam satu cubaan menyeludup dadah bernilai RM57.15 juta ke negara jiran apabila ditahan ketika sedang memunggah bungkusan dadah ke dalam bot di kawasan Parit Amat Laut, tengah malam tadi.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal, kedua-dua suspek berusia 63 dan 43 tahun itu ditahan dalam ‘Op Taring Landai – Intra/Inter Agensi’ yang dilakukan pada pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, hasil maklumat risikan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berkaitan aktiviti penyeludupan itu membawa kepada kejayaan melumpuhkan kegiatan sindiket dadah tersebut.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati beberapa individu sedang memunggah sejumlah bungkusan disyaki dadah ke dalam bot berkenaan yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Pasukan serbuan segera menyerbu bot terbabit dan berjaya menahan dua suspek warga tempatan iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun dan seorang wanita berusia 43 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan menyeluruh, polis menemui guni dan plastik hitam disyaki berisi dadah yang disembunyikan di dalam bot serta bonet kenderaan terbabit.
Pihaknya turut merampas 517 bungkusan plastik bertulisan ‘Guanyinwang’ disyaki dadah jenis syabu seberat 549 kilogram serta 191,268 unit pil ekstasi dan 4,000 katrij berisi cecair Yakuza yang dianggarkan bernilai RM57,150,900.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki berperanan sebagai penghantar. Mereka berdua kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














